KUANTAN – Nasib peneroka Felda Bukit Goh bakal kembali terbela apabila kerajaan dalam proses mempertimbangkan beberapa cadangan bagi membangunkan semula kawasan Felda berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, satu jawatankuasa khas telah dibentuk bagi meneliti setiap cadangan bagi memastikan ia memberi kebaikan kepada warga peneroka dan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri dan Felda ada menerima beberapa cadangan daripada syarikat untuk membangunkan semula Felda Bukit Goh seperti projek pembangunan bercampur, tanam semula, solar dan sebagainya.
“Beberapa syarikat telah dipanggil membentangkan cadangan masing-masing kepada jawatankuasa yang dilantik dan baki pembentangan akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebelum Jawatankuasa memutuskan keputusan untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi,”katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Ayub Mat Ashri yang bertanya mengenai hala tuju kerajaan negeri mengenai nasib peneroka Felda Bukit Goh yang terjejas akibat aktiviti perlombongan bauksit sebelum ini sehingga hasil sawit terjejas dan kini tiada pendapatan.
Menurut Amizar kepentingan, kebajikan dan pulangan kepada peneroka adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri selain menjaga hak negeri dan Felda bersama.
“Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Khas Penyelarasan Cadangan Pembangunan Kawasan Felda Bukit Goh sedang meneliti perkara ini dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,”katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu isu dan permasalahan di Felda Bukit Goh telah berlarutan melebihi 10 tahun bermula dengan perlombongan bauksit pada 2014 dan 2015.
Katanya, pada 15 Januari 2016 kerajaan menguatkuasakan moratorium ke atas semua aktiviti bauksit di Pahang disebabkan isu pencemaran alam sekitar yang serius.
Jelasnya, sehingga kini kawasan ladang kelapa sawit di Felda Bukit Goh terbiar tanpa usaha pemulihan tanah manakala ramai peneroka hilang punca pendapatan kerana tanah mereka tidak lagi sesuai untuk pertaniuan dan aktiviti perlombongan pula tidak dibenarkan.
Ujarnya, pada masa ini hanya kerja-kerja mengeluarkan simpanan stok bauksit sahaja yang dibenarkan manakala sebarang aktiviti perlombongan tidak dibenarkan sama sekali.-KOSMO! ONLINE














