BENTONG – Penduduk setempat mengakui laluan bermula dari Kilometer 37 hingga Kilometer 88 di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) cukup ‘panas’ dan sering berlakunya kemalangan ngeri sehingga meragut ramai nyawa.
Ketua Kampung Bukit Tinggi, Ismail Che Mat berkata, antara lokasi paling ditakuti ialah laluan daripada terowong Genting Sempah kerana pemandu akan melalui jalan menuruni bukit selain berselekoh.
“Kami memang maklum jalan ini berbahaya dan akan mengelak untuk memandu berhampiran lori dan kenderaan berat.
“Saya sendiri pernah menyaksikan kejadian seorang anggota polis yang menaiki motosikal maut selepas dihempap lori baja di kawasan ini,” katanya.
Menurutnya, selepas melalui terowong Genting Sempah, terdapat tiga lokasi panas yang sering berlaku kemalangan sehingga membawa maut.
Katanya, selain kereta dan lori yang terbabas, terdapat juga kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal yang hilang kawalan sehingga melanggar penghadang jalan atau bukit.
Tambahnya, kejadian kemalangan juga selalu berlaku kerana kegagalan brek kenderaan berat yang menuruni bukit.
“Pernah berlaku kemalangan maut apabila muatan lori dari laluan sebelah tercampak ke laluan bersebelahan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Janda Baik, Jabarudin Jaafar, 70, mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika melalui lebih raya berkenaan bagi mengelak terlibat kemalangan.
Katanya, dia yang sering berulang alik ke Bentong turut mengakui ada sesetengah pemandu sering menjadikan jalan tersebut untuk memandu laju.
“Kalau dekat Bukit Tinggi itu memang jalan menuruni bukit dan selekoh yang berbahaya. Lagipun, banyak kenderaan berat mengalami masalah teknikal khususnya brek yang mengakibatkan kemalangan.
“Jadi saya memang terlalu berhati-hati apabila melalui jalan itu kerana bimbang kenderaan berat yang boleh terbabas bila-bila masa,” katanya.
Tambahnya, tindakan lori dan treler yang meletakkan kenderaan di tepi jalan juga mengganggu lalu lintas dan boleh meningkatkan risiko berlaku kemalangan jalan raya.














