BANGI – Usaha pembebasan 10 aktivis Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bukan suatu perkara yang mudah.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, dalam masa sama pihaknya berpendirian bahawa misi berkenaan dilaksanakan secara sah serta mengikut undang-undang.
“Kepada sesiapa yang merasakan ini bahawa pengulangan skrip, ini adalah pengulangan pattern (bentuk) kejahatan yang dilakukan oleh rejim. Cumanya kali ini nampak terdesak.
“Ini andaian kita, mereka tidak mahu kumpulan besar ini bergabung dengan kumpulan yang berada di Tukiye. Pastinya kali ini saya kira proses untuk kita membebaskan itu tidak mudah.
“Sehingga 38 jam kita masih belum menerima maklumat rasmi, walau bagaimanapun saya mohon untuk terus berdoa insya-Allah,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini GSF 2.0 di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama terus berdoa termasuk melakukan solat hajat perdana demi keselamatan aktivis tersebut khususnya peserta dari Malaysia. – KOSMO! ONLINE














