KUALA LUMPUR – Hasrat 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk mencari rezeki di negara ini tidak kesampaian apabila kesemua mereka ditahan di sebuah kawasan di Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Rabu lalu.
Tangkapan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah menerusi serbuan Op Taring Nyah 1 itu turut menahan tujuh lelaki tempatan yang berperanan sebagai tekong darat.
Komander PGA Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner, Hakemal Hawari berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.
Jelas beliau, kesemua PATI berkenaan dipercayai telah membayar antara RM1,500 hingga RM2,000 kepada tekong darat tersebut.
“Serbuan ini turut merampas tujuh buah kenderaan pelbagai jenis melibatkan enam buah motokar dan sebuah motosikal.
“Turut dirampas tujuh telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM360,000,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Markas PGA Briged Tengah di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














