fbpx
Gambar hiasan.

Samun kedai serbaneka 24 jam mahu langsai hutang along

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang kelindan lori ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam enam kes samun di kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah Melaka Tengah dengan bersenjatakan sebilah pisau dengan jumlah kerugian kira-kira RM1,500.

Lelaki berusia 27 tahun itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Siasatan Khas (D9), Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Solok Bukit Bayan, Bukit Katil kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, suspek dipercayai menyasarkan premis kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah itu dengan kebanyakan mangsanya terdiri daripada pekerja wanita yang bertugas di kaunter pembayaran.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah dengan berpura-pura menjadi pelanggan sebelum bertindak mengacukan pisau kepada mangsa.

“Suspek akan mengambil beberapa barangan dan berpura-pura membuat pembayaran di kaunter sebelum mengeluarkan pisau serta memaksa mangsa menyerahkan wang tunai dari laci kaunter.

“Selepas memperoleh wang tersebut, suspek akan melarikan diri menggunakan motosikal yang telah diletakkan berhampiran premis,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek mengaku melakukan kegiatan samun berkenaan kerana berdepan masalah hutang dengan pemberi pinjaman wang tidak berlesen (along) serta beberapa individu yang dikenalinya.

“Semakan lanjut turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan telah di reman selama tujuh hari sehingga 18 Jun ini bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN