fbpx
Penduduk yang menyertai perhimpunan aman berhubung isu itu di sekitar Persiaran Mokhtar Dahari berdekatan Alam Budiman, Shah Alam. -Foto AFIQ RAZALI/ KOSMO

Hampir setiap hari berlaku kemalangan di Persiaran Mokhtar Dahari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Lebih 100,000 pengguna Persiaran Mokhtar Dahari, di sini terus dibelenggu kebimbangan susulan kemalangan yang didakwa kerap berlaku di laluan itu sejak hampir sedekad lalu.

Laluan utama yang menghubungkan Taman Alam Budiman, Puncak Alam dan Saujana Utama itu turut meragut nyawa sehingga mencetuskan tuntutan agar projek pelebaran jalan kepada empat lorong disegerakan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrulhisham Shahbudin, 57, berkata, kemalangan masih berlaku walaupun sebahagian laluan berkenaan telah dinaik taraf sebelum ini.

Menurutnya, laluan dari Puncak Perdana ke taman perumahan itu sering dianggap sebagai ‘jalan maut’ kerana risiko kemalangan yang tinggi.

“Keadaan jalan menuruni bukit berisiko tinggi terutama kepada lori dan motosikal kerana ada yang mengalami masalah brek sehingga berlakunya kecelakaan.

“Walaupun penambahbaikan dibuat, kemalangan masih berlaku hampir setiap hari. Sebab itu projek pelebaran jalan perlu dipercepatkan,” katanya selepas menyertai perhimpunan aman bersama 100 penduduk di persimpangan lampu isyarat taman itu.

Sementara itu, penduduk, Muhammad Aizat Zulkafri, 37, berkata dia pernah berdepan detik cemas apabila sebuah lori sampah hilang kawalan dan terbalik di hadapan kereta dipandu adiknya, awal tahun ini.

“Mujur adik saya sempat menekan brek dan mengelak daripada merempuh lori tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya Selangor memaklumkan, kawasan Persimpangan Alam Budiman dikenal pasti lokasi berisiko kerana berada di laluan berbukit dengan jalan menurun ke arah lampu isyarat.

Menurutnya, kemalangan kerap berlaku kerana keadaan profil geometri jalan di kawasan itu selain faktor pemanduan melebihi had laju dan kerosakan kenderaan.

“Satu lorong tambahan sepanjang 300 meter dari arah Puncak Alam ke Shah Alam telah dibina manakala cadangan menaiktaraf keseluruhan Persiaran Mokhtar Dahari kepada empat lorong dikemukakan sebagai penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Kosmo! pada Oktober 2022 melaporkan pengguna laluan itu memohon pihak berwajib melebarkan jalan sedia ada susulan kesesakan teruk sepanjang tiga kilometer pada waktu puncak bermula pukul 6.30 pagi dan hingga 9 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN