fbpx
Azhan Shafriman

‘Saya akan cuba yang terbaik dapatkan tiket F1 serendah RM100’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif memberi jaminan akan berusaha mendapatkan harga tiket Formula Satu (F1) yang mampu dimiliki rakyat Malaysia, termasuk sasaran sekitar RM100 bagi pemegang MyKad.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan keputusan muktamad mengenai harga tiket bukan terletak di tangan SIC kerana semua urusan penjualan dan keuntungan tiket adalah di bawah pengurusan penganjur perlumbaan, Bahrain.

“Semua penjualan dan keuntungan tiket akan kembali kepada Bahrain. Jadi, kita tidak mempunyai kuasa mutlak.

“Saya juga melihat ramai rakyat Malaysia mahukan tiket yang lebih murah. Saya akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan harga istimewa ketika rundingan dengan Bahrain.

“Mungkin harga yang kita harapkan sekitar RM100 untuk pemegang MyKad, tetapi keputusan utama tetap di tangan Bahrain kerana mereka yang menjual tiket dan menerima hasil jualannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas harapan peminat tempatan supaya tiket perlumbaan Formula Satu di Litar Antarabangsa Sepang yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober depan dapat dijual pada harga lebih mampu milik.

Menurut Azhan Shafriman, rundingan mengenai harga tiket kini sedang dijalankan dan keputusan dijangka dimuktamadkan seawal minggu pertama September.

“Dari segi garis masa, saya sasarkan keputusan itu diperoleh seawal yang boleh, iaitu sekitar minggu pertama September,” katanya.

Terdahulu, kenyataan Shafriman turut tular sekali gus menerima pelbagai reaksi daripada peminat sukan permotoran yang berharap tiket perlumbaan F1 di Sepang dapat ditawarkan pada harga lebih rendah.

Dijangka tiket F1 akan mula dijual awal Ogos ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran perlumbaan berprestij itu mencerminkan kepercayaan dan keyakinan Bahrain, F1 serta Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) terhadap keupayaan Malaysia.

Anwar berkata demikian selepas berpeluang berbincang dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN