PARIT – Seorang lelaki berusia 34 tahun yang sedang melakukan kerja-kerja mengimpal maut setelah terjatuh ke dalam tangki air di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.46 petang.
Katanya, mangsa, Muhammad Nazrin Yaakob Kejadian didapati terjatuh ke dalam tangki air semasa membuat kerja-kerja mengimpal pada tangga di dalam tangki air MRSM tersebut.
“Anggota bomba bertindak memasuki tangki berkenaan bagi melakukan operasi mengeluarkan mangsa daripada tangki air itu ke atas permukaannya dengan menggunakan tali penyelamat.
“Seterusnya pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Sabarodzi berkata, anggota penyelamat kemudiannya menggunakan sistem sistem lowering (lowering system) dan scoop stretcher untuk menurunkan mangsa dari atas tangki air ke bawah dengan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Komander operasi memaklumkan operasi ditamatkan dan jentera bersama anggota bertolak balik ke balai,” katanya. – KOSMO! ONLINE














