fbpx
Tangkap layar video 'honor of walk' yang dilakukan ketika Allahyarham menuju ke dewan bedah di Hospital Selayang.

Perginya Nabil Izz Qaisar sebagai penderma organ sehari selepas hari lahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor yang meninggal dunia sehari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya terus menabur bakti apabila mendermakan organ bagi membantu pesakit lain.

Allahyarham Nabil Izz Qaisar Mohd. Zairee, 19, disahkan meninggal dunia pada pukul 3.50 petang semalam sebelum menjalani prosedur pendermaan organ di Hospital Selayang awal pagi tadi.

Kisah pengorbanan terakhir pelajar Diploma Kewangan Islam Jabatan Perdagangan PSIS itu dikongsikan bekas guru kelasnya, Hizandie Shuaib menerusi hantaran di Facebook.

“Anak yang baik ini tidak ‘pulang’ begitu sahaja. Pukul 3 pagi nanti, arwah akan menjalani prosedur pembedahan derma organ yang akan menjadi amal jariah terakhir arwah sebagai bekalan akhirat.

“Moga memberi manfaat besar kepada bakal penerima organ yang memerlukan nanti,” katanya.

Beliau turut berkongsi detik pilu ketika menggenggam tangan kanan Allahyarham buat kali terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang, namun tidak menerima sebarang balasan.

Katanya, tangan sama sering dihulurkan Allahyarham untuk bersalaman dengannya ketika berada di sekolah.

“Maafkan Sensei, Nabil. Aku tak mampu menahan sebak. Ketika hidup disayangi. Sudah meninggal masih berbakti. Rezeki arwah dengan pengakhiran begitu,” katanya.

Hizandie berkata, beliau mengenali Allahyarham selama lima tahun menerusi sesi pengajaran di dalam kelas, aktiviti bola sepak dan lapangan.

Allahyarham dilahirkan pada 26 Julai 2007 dan menghembuskan nafas terakhir semalam, sehari selepas ulang tahun kelahirannya.

“Terima kasih Nabil untuk semua kenangan selama lima tahun saya mengajar awak. Jasamu dikenang. Syurga untukmu. Tariklah tangan gurumu ini bersamamu nanti.

“Semalam ulang tahun tarikh hari lahir arwah. Hari ini tarikh arwah pulang semula ke sisi Allah,” kata Hizandie.

Sementara itu, warga perubatan Hospital Selayang bersama ahli keluarga dan rakan-rakan Allahyarham turut mengadakan ‘honour walk’ sebagai penghormatan terakhir sebelum Allahyarham dibawa ke dewan bedah.

PSIS dalam kenyataannya memaklumkan Allahyarham dikebumikan di Sabak Bernam selepas solat Asar hari ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN