BOSTON – Pengendali Scotland, Steve Clarke memberi amaran kepada barisan pemain supaya tidak memandang rendah Haiti menjelang aksi pertama Kumpulan C Piala Dunia 2026 di Stadium Boston, pagi esok.
Menurut Clarke, kemenangan bergaya 4-0 yang dicatat Haiti ke atas New Zealand dalam aksi persahabatan baru-baru ini mengubah persepsi barisan kejurulatihan yang sebelum ini menganggap wakil Amerika Tengah itu sebagai negara yang mudah ditewaskan.
Clarke menyedari ranking dunia bukan ukuran sebenar selepas pasukannya menduduki tangga ke-43 berbanding Haiti di posisi ke-83 ketika ini.
“Saya ada lihat perlawanan Haiti dan mereka bermain dengan sangat baik ketika bertemu New Zealand. Harus diakui kita mempunyai tabiat buruk kerana menganggap negara seperti Haiti tidak cukup bagus hanya berdasarkan ranking dunia.
“Selain itu, pemain mereka juga memiliki kombinasi kekuatan fizikal dan kualiti teknikal yang mampu menyukarkan kami nanti. Mungkin zon mereka sangat kompetitif dan saya jangka aksi sengit nanti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, The Tartan Army menanti perkembangan terkini pemain tengah utama mereka, Scott McTominay, yang tidak menyertai sesi latihan pasukan sejak Khamis akibat keracunan makanan.
Pemain tengah Scotland, Kenny McLean, berharap tonggak Napoli itu dapat pulih segera menjelang aksi penting menentang Haiti. – AGENSI














