MESKIPUN tidak mengharungi sebarang aksi persahabatan antarabangsa, skuad Harimau Malaya masih mampu ‘tersenyum’ apabila melonjak ke No. 136 dunia dalam ranking terbaharu dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam.
Berdasarkan kemaskini itu, Harimau Malaya mengumpul 1086.22 mata sekali gus naik dua anak tangga berbanding No. 138 dunia pada ranking rasmi yang dikeluarkan oleh FIFA pada April lepas.
Pengurusan skuad kebangsaan, Malaysia NT dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikritik hebat tidak menganjurkan aksi persahabatan ketika kalendar antarabangsa dibuka pada 1 hingga 9 Jun lepas atas sebab yang tidak didedahkan.
Prestasi merudum Harimau Malaya bukanlah sesuatu yang mengejutkan meskipun pada satu tahun lalu pasukan kendalian Peter Cklamovski itu pernah berada dalam kelompok No. 116 terbaik di dunia.
Namun, disebabkan kontroversi pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan menyaksikan beberapa perlawanan persahabatan serta aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang diharungi pasukan kebangsaan terpaksa dibatalkan oleh FIFA dan AFC.
Fokus Harimau Malaya dalam usaha menaikkan semula ranking selepas ini adalah untuk mengharungi Piala ASEAN anjuran AFF pada Julai depan dan Piala ASEAN FIFA pada September depan.
Sementara itu, bagi kelompok pasukan di Asia Tenggara, skuad negara berada di kedudukan kelima di belakang Thailand di posisi No. 94, Vietnam (99) diikuti Indonesia (118) dan Filipina (135)
Gelaran negara No. 1 dunia pula berjaya dirampas oleh Argentina yang naik dua anak tangga dengan Sepanyol, Perancis, England dan Portugal melengkapkan lima pasukan terbaik manakala Jepun pula terus menguasai kedudukan Asia apabila berada pada kedudukan ke-18.














