fbpx
Gambar hiasan

Lelaki fitnah Tok Batin sorok Jaslinda diberkas polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Lelaki yang tular di media sosial kerana didakwa memfitnah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd. Asmadi Abdullah berhubung penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, diberkas polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di kediamannya di Ipoh pada pukul 1 tengah hari.

“Setakat ini, kita telah menerima 11 laporan polis berhubung kandungan berunsur fitnah terhadap tok batin yang dimuat naik di media sosial.

“Permohonan reman terhadap lelaki itu akan dibuat di mahkamah esok, bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kertas siasatan bagi kes tersebut dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu, tular di media sosial TikTok dakwaan seorang lelaki kononnya Mohd. Asmadi, 63, ‘menyimpan’ Jaslinda sepanjang tempoh kehilangan wanita itu sebelum dia ditemukan penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh.

Dakwaan tidak berasas itu mendorong kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta membuat laporan polis pada Selasa lalu bagi membantah fitnah yang tular terhadap Mohd. Asmadi.

Jaslinda yang hilang sejak 23 Mei lalu ketika menyertai aktiviti pendakian Trans Spencer Capman di Gunung Batu Putih ditemui selamat oleh penduduk Orang Asli pada 6 Jun lalu.

Dia dilihat berjalan seorang diri dalam keadaan lemah menyeberangi jambatan berhampiran sungai di Kampung Lubuk Gaharu sebelum dibawa ke rumah Mohd. Asmadi untuk diberi bantuan awal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN