fbpx
Mohd. Yusoff (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis pada Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan di Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Lebih 13,000 etnik Rohingya ‘bersarang’ di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Polis mengenal pasti seramai lebih 13,000 etnik Rohingya yang tinggal di empat daerah di Kelantan melalui pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan sehingga bulan lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, daripada jumlah itu, seramai 8,000 etnik tersebut tidak memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) manakala 5,373 lagi memiliki dokumen tersebut.

Katanya, etnik tersebut bagaimanapun tidak berada di pusat penempatan khas, namun mereka tinggal secara bertebaran di dalam masyarakat khususnya di empat daerah iaitu Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

“Setakat ini, tidak timbul isu penduduk tempatan di Kelantan menyampah dengan kehadiran etnik Rohingya apabila golongan tersebut dikatakan masih belum memonopoli sektor perniagaan di sini.

“Berdasarkan maklumat Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, kebanyakan etnik Rohingya bekerja sebagai buruh kasar di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, etnik Rohingya lebih banyak melakukan kerja-kerja berat, berkebun, membina rumah selain mengambil upah melakukan kerja-kerja yang tidak mahu dilakukan oleh orang tempatan.

Menurutnya, keadaan di Kelantan tidak sama seperti di tempat lain terutamanya ibu negara apabila etnik Rohingya dilihat semakin menguasai kawasan perniagaan sehingga menimbulkan rasa kurang senang rakyat tempatan.

“Setakat ini, polis tidak menerima sebarang laporan daripada penduduk setempat yang merungut mengenai kehadiran etnik Rohingya di kawasan mereka.

“Selain itu, mempunyai aplikasi khas untuk menyemak ketulenan kad UNHCR yang dikemukakan oleh etnik Rohingya bagi mengelakkan penggunaan dokumen palsu semasa pemeriksaan dijalankan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN