fbpx
Gambar hiasan.

Bawa masuk jururawat Indonesia bukan penyelesaian – MMN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia (MMN) tidak bersetuju dengan cadangan membawa masuk jururawat dari Indonesia secara terbuka bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja kesihatan di negara ini tanpa kajian menyeluruh terlebih dahulu.

MMN dalam satu kenyataan hari ini berkata, pendirian itu bukan bersifat prejudis terhadap profesionalisme tenaga kerja kesihatan Indonesia, sebaliknya dibuat atas dasar menjaga kualiti penjagaan pesakit, keselamatan klinikal dan kestabilan sistem kesihatan negara dalam jangka panjang.

Menurut persatuan itu, antara isu utama yang perlu diberi perhatian ialah perbezaan standard latihan kejururawatan, kelayakan akademik, prosedur dan protokol klinikal serta kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan dialek tempatan.

“Perkara ini secara langsung boleh mempengaruhi penyampaian rawatan yang selamat dan berkesan kepada pesakit Malaysia,” katanya.

MMN turut berpandangan Malaysia masih mempunyai ramai graduan kejururawatan tempatan yang belum mendapat penempatan tetap di hospital kerajaan dan swasta.

Katanya, keutamaan perlu diberikan kepada pengambilan serta penempatan graduan tempatan sebelum negara mempertimbangkan kemasukan tenaga kerja asing dalam sektor tersebut.

“Perancangan yang tidak rapi boleh menjejaskan peluang pekerjaan warga tempatan selain membebankan sistem latihan adaptasi di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, MMN menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan semua agensi berkaitan supaya meneliti setiap implikasi undang-undang, etika profesional, sosioekonomi dan keselamatan pesakit sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, kajian impak yang menyeluruh, perbandingan kompetensi secara terbuka serta mekanisme pemantauan dan penilaian berkala yang ketat perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

“Sekiranya kemasukan ini benar-benar diperlukan, ia hendaklah bersifat sementara, terhad dari segi jumlah dan dikenakan syarat lesen sementara yang ketat,” katanya.

MMN menegaskan kebajikan pesakit, maruah profesion kejururawatan tempatan serta peluang pekerjaan rakyat Malaysia tidak boleh dikorbankan semata-mata untuk menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja dalam jangka pendek.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, Malaysia sedang mempertimbangkan cadangan Indonesia untuk memperluaskan penempatan pekerja migran Indonesia (PMI) ke sektor kesihatan, khususnya membabitkan tenaga kejururawatan bagi menangani kekurangan petugas kesihatan di negara ini.

Mohamad berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bilateral bersama Menteri Luar Indonesia, Sugiono ketika menghadiri Sidang Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC) Ke-17 di Gedung Pancasila, Kementerian Luar Indonesia, Jakarta minggu lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN