fbpx
Mohd. Yusoff (kanan) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Senior Asisten Komisioner Mohd. Khairiel Mohd. Arif menunjukkan gambar dua suspek yang dipercayai menculik dua lelaki pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Saudara tak bayar hutang dadah, punca kena culik sampai ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Gara-gara saudara tidak membayar hutang berkaitan dadah dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebanyak RM33,000, dua lelaki diculik sindiket selama dua hari sebelum ditinggalkan di tepi jalan di kawasan Mundok, Selatan Thailand pada minggu lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 51 dan 35 tahun itu ditinggalkan di kawasan tersebut pada 8 Jun lalu selepas diculik dua lelaki dalam kejadian di Pasir Mas dan Tumpat dua hari sebelumnya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan mendapati, mangsa berusia 51 tahun mempunyai 24 rekod jenayah itu dan seorang lagi mangsa dipercayai dijadikan cagaran kepada sindiket oleh seorang lelaki berusia 25 tahun.

Katanya, lelaki tersebut yang juga merupakan saudara kepada kedua-dua mangsa dikatakan berhutang dadah dan seludup PATI dengan sindiket sebelum menjadikan mereka sebagai cagaran sekiranya tidak membayar hutang tersebut.

“Kedua-dua mangsa diculik oleh dua lelaki yang dikenali sebagai Mejah berusia 40 tahun dan Mamat, 32 tahun sebelum dibawa lari ke Selatan Thailand. Siasatan mendapati, Mejah turut mengarahkan Mamat untuk membakar kereta jenis Perodua Myvi yang digunakan untuk membawa kedua-dua mangsa ke sempadan di Gelang Mas, Pasir Mas.

“Selepas dua hari diculik, mangsa ditinggalkan di tepi jalan di Mundok, Selatan Thailand. Kedua-dua suspek dipercayai berbuat demikian kerana takut selepas pihak polis menjalankan operasi termasuk sekatan jalan raya untuk memburu mereka apabila laporan polis dibuat oleh ahli keluarga mangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, kedua-dua mangsa yang dibawa masuk melalui pangkalan haram di Sungai Golok tidak mengalami sebarang kecederaan ketika ditemui di Mundok.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, mangsa yang berusia 51 tahun merupakan pemilik sebuah bengkel manakala seorang lagi bekerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan.

“Peminjam yang tidak membayar hutang dadah dan penyeludupan PATI itu bersama kekasihnya merupakan antara lima individu yang direman selama 14 hari sehingga 22 Jun ini untuk membantu siasatan kes tersebut.

“Siasatan turut mendapati, kedua-dua mangsa dipercayai terlibat secara tidak langsung dengan kegiatan lelaki yang berhutang dengan sindiket dadah dan penyeludupan PATI itu,” ujarnya.

Beliau berkata, polis kini sedang memburu Mejah dan Mamat yang ketika ini dipercayai masih bersembunyi di Selatan Thailand.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, lima individu termasuk seorang wanita direman 14 hari  bermula 8 Jun lalu bagi membantu siasatan berhubung kes culik dua lelaki di Tumpat dan Pasir Mas sini.

Perintah reman terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an itu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN