KUALA LUMPUR – Kes jenayah penipuan dalam talian terus menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila merekodkan kerugian mencecah RM2.97 bilion pada tahun lalu berbanding RM1.57 bilion tahun sebelumnya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, sebanyak 66,204 kes jenayah penipuan dalam talian direkodkan sepanjang tahun lalu, meningkat 87 peratus berbanding 35,368 kes pada tahun 2024.
“Daripada jumlah itu, phone scam kekal sebagai ancaman utama dengan 28,388 kes, manakala penipuan pelaburan tidak wujud mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM1.47 bilion bagi tempoh yang sama.
“Angka-angka ini bukan sekadar statistik di atas kertas, tetapi ia adalah cerminan kepada ribuan mangsa yang terjejas punca pendapatan dan masa depan mereka akibat kelicikan sindiket penipuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan, Satu Matlamat di Hotel Intercontinental, di sini hari ini.
Mohd. Khalid berkata, dalam era pendigitalan kini, sindiket sentiasa memperbaharui taktik dan kaedah operasi dengan mengeksploitasi kemajuan teknologi serta kecanggihan platform komunikasi moden.
Justeru, katanya, usaha pencegahan, pendidikan dan pembudayaan kesedaran keselamatan digital kini menjadi keutamaan yang mendesak dan perlu diperkasakan secara berterusan.
Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik pelaksanaan Program PB Scam Rangers hasil kerjasama erat antara Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Publik Bank Berhad.
“Inisiatif ‘Dua Pasukan, Satu Matlamat’ ini membuktikan bahawa perlindungan masyarakat daripada ancaman scam bukan tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata.
“Sebaliknya, ia memerlukan penglibatan aktif sektor perbankan, agensi-agensi berkaitan dan komuniti secara kolektif,” ujarnya.
Beliau menambah, kerjasama strategik ini merupakan langkah progresif bagi memperkukuh tahap literasi kewangan dan keselamatan siber dalam kalangan masyarakat.
Mohd. Khalid turut menyeru seluruh masyarakat agar sentiasa mengamalkan sikap waspada dalam setiap urusan kewangan, khususnya transaksi dalam talian.
“Jangan mudah terpedaya dengan panggilan, mesej atau tawaran yang meragukan. Prinsipnya mudah, semak dan sahkan setiap maklumat melalui saluran rasmi sebelum mengambil tindakan.
“Kepekaan adalah benteng pertahanan pertama bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE














