SIK – Seorang lelaki dikhuatiri hilang apabila tidak pulang ke rumah setelah keluar mencari rumput untuk kambingnya di Felda Teloi Timur, di sini Rabu lalu.
Anaknya, Nurul Atirah Nadira Asmadi, 23, berkata, bapanya Asmadi Ibrahim, 58, tidak pulang ke rumah selepas pukul 7.30 malam pada hari tersebut sehingga hari.
“Biasanya ayah balik ke rumah sebelum waktu maghrib tetapi pada hari Rabu itu ayah keluar rumah sejak pukul empat petang untuk mengambil rumput sebagai makanan kambing.
“Sehingga hari ini ayah tidak balik, kebiasaannya ayah akan balik ke rumah kerana ayah akan bawa datuk, Taharin Abdullah, 80, ke kedai untuk makan malam sebab mereka hanya tinggal berdua di rumah,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, kehilangan bapanya disedari oleh datuknya dan segera memberitahu jiran untuk meminta bantuan mencarinya.
Jiran menghubunginya memberitahu kehilangan bapa sebelum Nurul Atirah Nadira yang tinggal di Kuala Lumpur segera pulang ke rumah dan membuat laporan polis pada hari Khamis kira-kira pukul 10 malam.
“Puas orang kampung dan pihak polis mencarinya, kami juga menghubungi saudara-mara dan rakan-rakan ayah, tetapi tiada siapa yang tahu. Sebelum ini ayah tidak pernah ke mana-mana tanpa pengetahuan kami.
“Kami tidak menemui apa-apa petunjuk, di kawasan rumput yang selalu ayah pergi juga tiada apa-apa tanda, malah motosikal jenis Modenas Kriss yang selalu ditunggangnya juga tiada,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














