KOTA BHARU – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang masih belum beroperasi dipercayai menjadi punca sindiket berani untuk mencuri kabel di kawasan landasan kereta api tersebut di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sindiket mencuri kabel di negeri ini dipercayai aktif sejak Februari lalu dengan mengambil peluang mencuri kabel ketika sistem elektrik di laluan projek mega itu belum diaktifkan sepenuhnya.
Katanya, terbaharu, polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam empat kes kecurian kabel ECRL melibatkan kerugian sebanyak RM200,000 di negeri ini.
“Siasatan lanjut mendapati, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an dan tiada sebarang rekod jenayah itu dipercayai mengambil peluang mencuri kabel ketika ECRL masih belum beroperasi.
“Jika sudah beroperasi, mereka takut terkena renjatan elektrik ketika mencuri kabel. Apabila ECRL belum diaktifkan sepenuhnya, risiko untuk terkena renjatan elektrik sangat rendah,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, kesemua kecurian kabel yang didalangi dua lelaki itu melibatkan jajaran laluan ECRL di Pasir Puteh.
Menurutnya, daerah tersebut merupakan kawasan berisiko berlaku kercurian memandangkan laluan projek itu paling panjang di Pasir Puteh selain melalui kawasan pedalaman dan hutan.
“Selain itu, lokasi kecurian kebanyakannya jauh dari penempatan awam. Suspek turut menyasarkan komponen tembaga yang terdapat pada sistem landasan sebelum menjual hasil curian itu kepada premis barang lusuh sekitar negeri ini.
“Siasatan mendapati, proses memotong dan menarik kabel itu hanya mengambil masa kira-kira sejam bagi setiap operasi,” ujarnya
Mohd. Yusoff berkata, pihak pengurusan ECRL juga perlu memperkukuh kawalan keselamatan termasuk mengupah pengawal keselamatan dan pemasangan kamera litar tertutup. – KOSMO! ONLINE














