KUALA LUMPUR – Menikmati kehidupan mewah dengan pendapatan ratusan ribu ringgit setiap bulan rupa-rupanya tidak menjamin kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup.
Bekas broker pelaburan yang mahu dikenali sebagai Mat, 40-an, kini dirundung rasa bersalah kerana memperdaya kira-kira 500 mangsa sejak 2014 sehingga mereka menyerahkan wang berjumlah lebih RM50 juta kepadanya.
Menurutnya, rasa bersalah itu menghantuinya selepas dia mendalami kisah hari mahsyar, timbangan amal dan hisab serta azab neraka sehingga membuatkan dia mula berfikir tentang kematian.
Bagi menebus rasa bersalah, lelaki itu sanggup meninggalkan kehidupan selesanya dengan melakukan pelbagai kerja sebagai pencuci kereta, pembantu peribadi dan penghantar makanan.
“Saya sedar wang yang saya nikmati selama ini adalah milik orang lain dan saya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.
“Walaupun pernah hidup mewah dengan aset bernilai jutaan ringgit, semua itu tidak lagi bermakna apabila saya memikirkan soal dosa dan pembalasan di akhirat.
“Saya tidak mahu mati dengan membawa hak orang lain kerana setiap wang (pelaburan) yang masuk dahulu, ada keluarga yang meletakkan impian dan harapan kepada saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, baru-baru ini.
Mat berkata, oleh itu dia sedaya upaya berusaha melunaskan hutang para pelabur yang berbaki lebih RM19 sebelum dijemput Ilahi.
“Saya takut hendak berhadapan dengan Allah dalam keadaan masih menanggung hutang besar,” katanya.
Cerita Mat, sewaktu aktif dalam dunia pelaburan tersebut, dia tidak pernah membayangkan risiko yang bakal ditanggung termasuk selepas kematian walaupun sudah mendapatkan pelbagai pandangan mengenai hukum dan risiko.
“Apabila saya mula menghayati kehidupan selepas mati, saya sedar setiap wang ringgit yang diambil daripada orang lain akan dituntut semula di hadapan Allah.
“Ketakutan itu yang membuatkan saya berubah dan mula memikirkan kematian dengan lebih serius,” ujarnya.
Mat berkata, setakat ini dia berjaya menyelesaikan bayaran semula kepada pelabur sebanyak RM31 juta walaupun mengambil masa selama bertahun-tahun.
Jelasnya, penyelesaian itu menuntut pengorbanan besar apabila terpaksa menjual enam buah kereta, dua rumah dan hampir semua barang kemas yang pernah dihadiahkan kepada isteri dan anak-anaknya suatu ketika dahulu.
“Hari ini kehidupan saya jauh berbeza. Pada waktu pagi, saya mengambil upah mencuci kenderaan di kawasan perumahan.
“Selepas itu, (waktu pejabat) saya bekerja sebagai pembantu peribadi kepada pemilik sebuah kilang besi di Cheras. Pada sebelah malamnya pula, saya membuat kerja penghantaran makanan,” ujarnya.
Katanya, walaupun kehidupannya kini jauh lebih sukar berbanding dahulu, dia berasa lebih tenang kerana tidak lagi dibelenggu dengan rasa bersalah.
Mat berkata, sehingga kini dia masih berusaha menjejaki mangsa-mangsa pelaburan termasuk menerusi pertemuan secara bersemuka, panggilan telefon, WhatsApp atau e-mel bagi memohon maaf dan membuat pembayaran semula.
“Perkara pertama yang saya mahu katakan kepada kesemua mangsa adalah maafkan saya.
“Saya tahu perkataan maaf ini tidak mampu menghapuskan kesakitan yang mereka lalui, tetapi selagi masih hidup saya akan berusaha melunaskan tanggungjawab ini,” katanya.
Bagi melangsaikan hutang tersebut, Mat menyediakan hibah dan insurans hayat bernilai RM7 juta selain wasiat.
Langkah itu dibuat bagi memastikan semua wang pelabur dapat dipulangkan semula sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas dirinya.
“Saya sudah menerangkan dalam wasiat kaedah hutang-hutang ini perlu diuruskan sekiranya saya meninggal dunia.
“Keadaan kesihatan saya juga semakin tidak menentu dan saya tidak mahu meninggalkan urusan ini tanpa sebarang perancangan,” katanya.














