GEORGE TOWN – Tiga pelancong warga Vietnam dipercayai tersesat hampir dua jam ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Gertak Sanggul, Bayan Lepas di sini, semalam.
Mereka terdiri dua lelaki dan seorang wanita yang masing-masing berusia 32 hingga 36 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.15 petang semalam.
Menurutnya, operasi menyelamat mangsa tersesat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau.
“Mangsa berjaya dihubungi dan telah menghantar lokasi keberadaan melalui aplikasi WhatApps.
“Pasukan dimaklumkan yang mangsa membuat pendakian dari Gertak Sanggul dan telah turun ke Pulau Cermin sebelum tersesat ketika berada Pantai,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa telah diselamatkan oleh nelayan pada pukul 7.50 malam dan ditemukan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. -KOSMO! ONLINE














