PENDAKIAN santai di Bukit Batu Putih, Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini menjadi pengalaman pertama yang tidak dijangka buat seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Azhar.
Ujar Azhar, dia mendaki Bukit Batu Putih tanpa perancangan teliti kerana bukan seorang yang aktif dalam aktiviti lasak itu.
Jejaka berusia 32 tahun itu mengakui, pada mulanya, dia tidak merancang untuk mendaki, namun ajakan seorang rakan membuatkannya terbuka mencuba sesuatu yang baharu.
“Sejujurnya, saya bukan jenis yang aktif hiking. Tapi bila salah seorang rakan baik saya ajak dan pendakian itu santai sahaja, jadi saya fikir kenapa tidak,” katanya.
Mereka berdua memulakan perjalanan dari ibu kota ke Port Dickson seawal pukul 5.30 pagi, sebelum tiba di lokasi dituju kira-kira dua jam kemudian.
Menurut Azhar, suasana pagi yang tenang dan udara segar sedikit sebanyak membantu mengurangkan rasa gementar dalam dirinya sebagai pendaki kali pertama.
Laluan yang tidak terlalu mencabar juga membuatkan pengalaman itu lebih mesra buat pemula sepertinya.

“Saya selalu melihat content pengguna media sosial tentang pendakian di situ, dan saya faham mengapa ramai yang sukakannya.
“Trek pendakian sangat okey, tidak terlalu susah. Kami jalan perlahan saja, dan saya cukup tertarik apabila selepas hiking, kami dapat melihat pantai yang dikatakan ‘port healing’ yang disukai pendaki di situ.
“Kesimpulannya, saya akan repeat (ulang) memandangkan jaraknya tidak begitu jauh dari ibu kota,” katanya.
Namun begitu, Azhar tidak menafikan terdapat beberapa bahagian berbatu yang memerlukan lebih perhatian, terutama bagi pendaki baharu sepertinya.
“Ada juga tempat yang kena panjat sikit, kena pegang batu atau akar. Jadi, kita perlu fokus pada pendakian, namun apabila berjaya melepasinya, memang rasa satu kepuasan.
“Namun secara keseluruhan, tiada tekanan langsung untuk habiskan pendakian dengan cepat.

“Kami banyak menikmati suasana, dengan bunyi hutan dan ombak laut,” jelasnya.
Menceritakan detik tiba di puncak, Azhar memaklumkan, ia menjadi momen paling bermakna sepanjang pendakian tersebut.
“Bila sampai atas, rasa penat hilang terus. Pemandangan laut memang cantik sangat, ia memang berbaloi,” katanya.
Bagi Azhar, pengalaman pertama kali mendaki itu memberi perspektif baharu terhadap aktiviti luar yang sebelum ini tidak pernah terlintas untuk dicubanya.
“Kadang-kadang kita terlalu overthink, tapi bila sudah buat atau mula, sebenarnya seronok sangat. Apatah lagi, jika ada rakan yang menemani,” katanya.














