SHAH ALAM – Lebih 1,000 kontraktor Bumiputera Kelas F di seluruh negara terpaksa ‘pencen awal’ daripada dunia pembinaan sejak lima tahun lalu akibat kekurangan projek dan peningkatan mendadak kos bahan binaan.
Presiden Persatuan Kontraktor Kelas F (Perkobf), Tukiman Radion berkata, situasi itu semakin meruncing sejak tahun lalu apabila terdapat kontraktor langsung tidak memperoleh projek sehingga lebih tiga bulan.
Menurutnya, peluang untuk mendapatkan projek di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) juga semakin sukar meskipun kontraktor telah berkali-kali menyertai proses tender.
“Lagi parah apabila hendak dapat projek di PBT. Nak dapat satu projek pun susah walaupun sudah banyak kali membida. Kebanyakan projek di bawah PBT di beberapa negeri kini dikuasai syarikat konsesi apabila beberapa syarikat bergabung menjadi satu entiti untuk membida projek,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Perkobf Selangor di sini, hari ini.
Tambahnya, beliau pernah membawa isu berkenaan kepada beberapa PBT, namun maklum balas diterima amat mengecewakan dan seolah-olah tidak dipandang serius.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan diminta campur tangan bagi memastikan kontraktor Bumiputera Kelas F tidak terus tersisih daripada peluang projek pembangunan.
“Kami ini bukan hendak hidup mewah. Dapat satu projek setiap bulan pun sudah cukup bersyukur untuk terus bertahan. Sekarang harga bahan mentah naik mendadak sehingga 40 peratus. Tahun lalu harga paip RM41 seunit, tetapi hari ini sudah cecah RM66 seunit. Dengan kenaikan harga bahan mentah ini, margin keuntungan kami turut merosot,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














