Batu-batu yang telah hancur atau pecah kembali dicantumkan menggunakan teknologi baharu bagi pembinaan bangunan-bangunan baharu dan ujian skala penuh mendapati konkrit kitar semula kekal stabil.

Jimat! Runtuhan bangunan jadi bahan pembinaan masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INDUSTRI pembinaan global kini berdepan tekanan besar untuk menjadi lebih lestari apabila permintaan terhadap bahan mentah seperti pasir, batu kerikil dan simen terus meningkat saban tahun.

Dalam keadaan dunia semakin bimbang terhadap perubahan iklim dan kemusnahan alam sekitar, sekumpulan penyelidik dari Itali tampil dengan pendekatan unik yang mungkin mampu mengubah masa depan sektor pembinaan.

Mereka bukan sahaja mahu mengurangkan pencemaran, malah berusaha menjadikan runtuhan bangunan lama sebagai bahan utama untuk pembinaan baharu.

Penyelidik daripada University of Cagliari dan Politecnico di Milano, Itali berjaya membangunkan alternatif lestari menerusi projek dikenali sebagai Sarcos atau Steel And Recycled Concrete Slab.

Menurut profesor di Jabatan Kejuruteraan Awam, Alam Sekitar dan Seni Bina Universiti Cagliari, Flavio Stochino, projek ini memberi tumpuan kepada penggunaan semula konkrit daripada bangunan roboh bagi menghasilkan lantai konkrit komposit berkualiti tinggi yang setanding dengan bahan binaan konvensional.

“Idea utama projek ini cukup mudah tetapi mempunyai kesan besar terhadap alam sekitar. Daripada membiarkan bangunan terbiar menjadi runtuhan yang mencacatkan pemandangan bandar, sisa konkrit tersebut dihancurkan dan diproses semula untuk dijadikan bahan pembinaan baharu.

“Bahan kitar semula ini kemudian digabungkan dengan kepingan keluli berprofil berkekuatan tinggi bagi menghasilkan struktur lantai komposit yang kukuh dan tahan lama,” katanya dalam artikel di portal Interesting Engineering.

Tambahnya, konkrit daripada bahan kitar semula biasanya dianggap mempunyai prestasi lebih rendah berbanding konkrit biasa.

Namun, projek Sarcos membuktikan sebaliknya. Ujian berskala penuh menunjukkan prestasi struktur lantai komposit kekal stabil walaupun kandungan konkrit kitar semula ditingkatkan daripada 30 peratus sehingga 100 peratus. Dalam beberapa keadaan, prestasinya malah menjadi lebih baik.

Penemuan ini penting kerana industri pembinaan sejak sekian lama bergantung kepada bahan semula jadi yang semakin berkurangan.

penyelidik-penyelidik dari University of Cagliari dan Politecnico di Milano menunjukkan bagaimana mereka menghasilkan konkrit yang baharu daripada runtuhan bangunan.

Katanya lagi, salah satu isu terbesar ialah krisis pasir global. Walaupun ramai menyangka pasir gurun boleh digunakan untuk membuat konkrit, hakikatnya pasir tersebut terlalu halus dan licin akibat hakisan angin.

“Industri pembinaan memerlukan pasir sungai dan pasir daripada mendapan aluvium kerana bentuk butirannya yang tajam membantu konkrit melekat dengan lebih kukuh.

“Permintaan yang terlalu tinggi terhadap pasir pembinaan telah menyebabkan aktiviti pengorekan sungai berlaku secara besar-besaran di seluruh dunia,” ujarnya.

Menurut laporan antarabangsa termasuk oleh United Nations Environment Programme, pasir kini menjadi sumber kedua paling banyak digunakan di dunia selepas air.

Pengorekan tidak terkawal pula memberi kesan buruk terhadap ekosistem sungai, menghakis tebing, mengganggu habitat hidupan akuatik dan meningkatkan risiko banjir.

Penyelidik projek Sarcos percaya penggunaan runtuhan bangunan boleh membantu mengurangkan pergantungan terhadap pasir semula jadi.

Sementara itu, penyelaras projek dari Politecnico di Milano, Marco Simoncelli menjelaskan bahawa ramai tidak menyedari pasir pembinaan sebenarnya datang daripada kuari sungai dan kawasan aluvium, bukannya gurun.

Oleh itu, penggunaan bahan runtuhan bangunan mampu membantu memelihara landskap semula jadi daripada terus dieksploitasi.

“Pendekatan ini juga selari dengan konsep ekonomi kitaran atau circular economy yang semakin mendapat perhatian dunia.

“Dalam model ekonomi tradisional, bahan binaan digunakan sekali sebelum dibuang ke tapak pelupusan. Namun, ekonomi kitaran menekankan penggunaan semula bahan agar sumber alam dapat dimanfaatkan secara maksimum tanpa menghasilkan sisa berlebihan,” kongsinya.

Dalam konteks projek Sarcos, keseluruhan sistem direka supaya boleh dikitar semula sepenuhnya pada akhir hayat penggunaannya.

Keluli yang digunakan boleh dicairkan dan dibentuk semula, manakala konkrit kitar semula pula boleh diproses untuk kegunaan projek pembinaan lain. Ini mewujudkan satu kitaran pembinaan yang lebih lestari dan mesra alam.

Selain mengurangkan penggunaan bahan mentah, pendekatan ini turut membantu mengurangkan pelepasan karbon.

Biasanya pasir dan batu kerikil perlu diangkut menggunakan lori berat dari kuari yang terletak jauh daripada tapak pembinaan.

“Proses pengangkutan ini menyumbang kepada pelepasan karbon dioksida dalam jumlah besar.

“Dengan menggunakan runtuhan bangunan tempatan, jarak pengangkutan dapat dikurangkan sekali gus membantu mengurangkan pencemaran udara,” tambah Simoncelli.

Di banyak negara maju, penggunaan bahan binaan kitar semula sebenarnya semakin berkembang.

Belanda misalnya terkenal dengan pendekatan pembinaan lestari yang menggunakan semula konkrit dan keluli daripada bangunan lama.

Di Jepun pula, teknologi pemprosesan konkrit kitar semula digunakan secara meluas selepas gempa bumi dan projek pembinaan semula bandar.

Negara-negara Kesatuan Eropah juga semakin mengetatkan polisi berkaitan pengurusan sisa pembinaan bagi mengurangkan lambakan runtuhan di tapak pelupusan.

Menurut laporan oleh World Green Building Council, sektor pembinaan dan bangunan menyumbang hampir 40 peratus pelepasan karbon global.

Sebahagian besar pelepasan ini datang daripada pengeluaran bahan binaan seperti simen dan keluli.

Oleh sebab itu, penggunaan bahan kitar semula dilihat sebagai langkah penting untuk mencapai sasaran sifar karbon menjelang pertengahan abad ini.

Walaupun teknologi seperti Sarcos masih berada pada peringkat awal, kejayaannya membuka peluang besar kepada industri pembinaan masa depan.

Ia bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran dan penggunaan sumber asli, malah memberi nafas baharu kepada bangunan lama yang sebelum ini dianggap tidak berguna.

Runtuhan konkrit yang suatu ketika dahulu menjadi simbol kemerosotan bandar kini berpotensi menjadi asas kepada pembinaan bandar lestari generasi baharu.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal saintifik Materials and Structures menunjukkan inovasi pembinaan hijau bukan lagi sekadar konsep teori, tetapi semakin hampir menjadi realiti praktikal.

Dengan tekanan global terhadap isu perubahan iklim dan kekurangan sumber alam, pendekatan seperti ini mungkin menjadi norma baharu dalam industri pembinaan dunia pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN