fbpx
Asyraf Wajdi

Pindaan Akta Mara fokus perkukuh tadbir urus korporat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 70 peratus cadangan pindaan terhadap Akta Mara 1966 tertumpu kepada usaha memperkukuh tadbir urus korporat bagi memastikan institusi itu terus diurus secara telus, berintegriti dan berkesan.

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, aspek tadbir urus menjadi komponen paling penting dalam rang undang-undang baharu yang bakal dibawa ke Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen.

Menurut beliau, antara cadangan utama ialah mewujudkan beberapa jawatankuasa khusus berkaitan tadbir urus yang diwajibkan secara jelas dalam akta.

“Antaranya Jawatankuasa Audit Mara, Jawatankuasa Pelaburan Mara, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus serta Jawatankuasa Risiko Mara.

“Ini adalah organ tadbir urus yang wajib ada dalam mana-mana organisasi besar, apatah lagi konglomerat seperti Mara,” katanya.

Beliau berkata, jika jawatankuasa berkenaan tidak diperuntukkan dalam akta, kewujudannya hanya bersifat pilihan dan boleh dimansuhkan mengikut kehendak pentadbiran semasa.

Katanya, amalan tadbir urus yang baik memerlukan struktur organisasi yang jelas termasuk komposisi jawatankuasa, bidang kuasa dan mekanisme semak serta imbang.

“Perincian seperti siapa yang boleh menganggotai jawatankuasa, berapa jawatankuasa yang boleh disertai seseorang ahli majlis dan soal konflik kepentingan mesti diperjelaskan dalam akta.

“Kalau tidak, ruang penyimpangan dan salah guna kuasa akan terus wujud,” ujarnya.

Asyraf turut berkongsi pengalaman ketika menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri apabila berdepan isu melibatkan sebuah institusi di bawah kerajaan yang ditadbir menerusi ordinan lama era 1960-an.

Menurut beliau, kelemahan aspek tadbir urus menyebabkan berlaku situasi ahli lembaga memegang terlalu banyak jawatankuasa sehingga menerima elaun puluhan ribu ringgit sebulan.

“Secara undang-undang memang betul kerana semuanya diluluskan lembaga, tetapi dari segi moral dan tadbir urus ia tidak wajar.

“Macam mana seorang ahli boleh duduk dalam jawatankuasa audit dan pada masa sama berada dalam jawatankuasa pelaburan? Itu jelas konflik kepentingan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN