fbpx
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Malam Gala Persada Mara, malam tadi. Foto Facebook Ahmad Zahid

Mara perlu lahir pencipta peluang, bukan sekadar penerima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu melangkah ke fasa baharu dengan melahirkan generasi Bumiputera yang bukan sekadar menerima manfaat, sebaliknya menjadi pencipta peluang dan pemimpin masa depan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Mara kini bukan lagi sekadar sebuah institusi, tetapi simbol kejayaan dalam mengangkat martabat masyarakat luar bandar melalui pelbagai inisiatif pembangunan.

Menurut beliau, peranan Mara telah berkembang menjadi sebuah ekosistem menyeluruh merangkumi pendidikan, kemahiran, keusahawanan serta pelaburan strategik.

“Mara bukanlah sekadar tentang sebuah institusi, tetapi tentang kisah anak desa yang diberi peluang, keluarga yang diangkat martabatnya, serta usahawan yang dibimbing sehingga berjaya.

“Inilah amanah besar yang terus dipikul dalam memastikan Bumiputera tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kejayaan institusi pendidikan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) serta kadar kebolehpasaran tinggi graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Mara membuktikan keberkesanan pendekatan yang dilaksanakan.

“Kejayaan seperti MRSM serta kebolehpasaran tinggi graduan TVET Mara yang kini mencecah 98 peratus membuktikan bahawa pendekatan yang kita bina mampu melahirkan generasi yang seimbang, berilmu dan berdaya saing,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Mara perlu beralih daripada sekadar menyediakan peluang kepada usaha membina penguasaan dalam pelbagai bidang strategik.

“Melangkah ke hadapan, Mara perlu bergerak daripada sekadar membuka peluang kepada membina penguasaan.

“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja menjadi penerima manfaat, tetapi pencipta peluang dan pemimpin masa depan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima Anugerah Persada Mara termasuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang menerima Anugerah Legasi Ikon Alumni Mara.

“Sesungguhnya perjalanan ini masih belum selesai. Enam dekad adalah asas dan masa depan adalah medan untuk kita melangkah lebih jauh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN