PUTRAJAYA – Tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebararan dari merebak membabitkan sebuah dewan sekolah di SMK Putrajaya Presint 14 (1), di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang itu, satu panggilan kecemasan diterima melalui talian MERS 999 sebelum sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 14 dan sebuah jentera daripada BBP Presint 7 dikejarkan ke lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Muhammad Haziq Hazmi berkata, sejurus tiba, pihaknya mendapati kebakaran membabitkan kerusi dan meja yang disimpan di belakang pentas dewan.
Beliau berkata, anggaran kebakaran membabitkan kawasan seluas kira-kira 12 x 50 kaki persegi.
“Operasi pemadaman dilakukan oleh 12 anggota menggunakan sumber air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut dan punca kejadian masih disiasat. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














