PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan komitmennya untuk memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif, adil dan berkualiti kepada semua pelajar berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
Menerusi kenyataan hari ini, KPT memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju dengan beberapa ketetapan baharu berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan termasuk daripada sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
“Calon daripada aliran berkenaan yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh boleh memohon mana-mana program pengajian melalui sistem UPUOnline berdasarkan merit dan syarat ditetapkan universiti.
“Permohonan tertakluk kepada syarat am dan syarat khas program yang ditetapkan universiti melalui proses pemilihan berdasarkan meritokrasi,” katanya.
Selain itu, Jemaah Menteri turut bersetuju calon daripada aliran terbabit yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah kendalian Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui Kementerian Pendidikan (KPM), boleh dipertimbangkan mengikuti program tertentu di IPTA mengikut kesesuaian bidang dan keperluan semasa.
Bagi lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
Sementara itu, bagi lepasan SMPC atau Unified Examination Certificate (UEC), program dikenal pasti termasuk Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
KPT berkata, semua permohonan akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada keputusan Senat Universiti.
“Pendekatan ini merupakan sebahagian usaha memperkasa akses pendidikan tinggi negara secara lebih inklusif tanpa menjejaskan standard akademik dan kualiti sistem pendidikan tinggi negara,” jelas kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE














