PETALING JAYA – Isi rumah yang memperoleh pendapatan kasar RM7,000 sebulan di negeri seperti Kelantan dan Kedah boleh dikategorikan dalam kelompok 20 peratus teratas (T20).
Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ambang pendapatan isi rumah bagi kategori T20 di Kelantan ditetapkan RM7,000 ke atas, manakala Kedah pula RM7,820 ke atas.
Ini bermakna isi rumah di Kelantan yang berpendapatan RM7,000 sebulan sudah melepasi kategori M40 yang berada dalam julat RM3,520 hingga RM6,999.
Situasi sama turut dilihat di Kedah apabila kategori B40 ditetapkan pada pendapatan bawah RM3,940, M40 (RM3,940-RM7,819), manakala T20 (bermula RM7,820).
Perbandingan itu menunjukkan ambang untuk memasuki kategori T20 di beberapa negeri jauh lebih rendah berbanding bandar utama seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Di Selangor, kategori T20 hanya bermula dengan pendapatan kasar isi rumah RM16,040 ke atas, manakala Kuala Lumpur (RM17,030) dan Putrajaya (RM19,030).
Secara nasional, DOSM menetapkan kategori B40 pada pendapatan isi rumah kurang RM5,860, M40 (RM5,860-RM12,679), manakala T20 (bermula RM12,680).
Negeri lain yang turut merekodkan ambang T20 lebih rendah termasuk Perlis (RM8,010), Perak (RM8,220), Pahang (RM8,090) dan Sarawak (RM9,710).
Sementara itu, negeri dengan ambang T20 yang lebih tinggi selepas Lembah Klang adalah Johor dan Pulau Pinang, masing-masing RM13,560 dan RM12,680. – KOSMO! ONLINE














