KULAI – Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Xpander dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler muatan kelapa sawit di Jalan Kulai-Kota Tinggi, selepas simpang Felda Taib Andak, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.23 petang itu, mangsa, Zamri Mohamed, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Fauzi Che Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.23 petang sebelum sebuah jentera FRT dan EMRS bersama sembilan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba pada pukul 3.31 petang, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori treler Fuso 30 tan muatan kelapa sawit dan sebuah Mitsubishi Xpander.
“Pemandu lori tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu kereta disahkan meninggal dunia dan tersepit. Seorang penumpang wanita pula mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dijalankan menggunakan peralatan khas menyelamat.
Katanya, mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














