PETALING JAYA – Satu kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan berhampiran dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14(1) hari ini ketika pelajar sekolah berkenaan sedang menduduki peperiksaan.
Insiden itu turut mencetuskan kebimbangan ibu bapa memandangkan esok dijadualkan berlangsung Sambutan Hari Belia peringkat Putrajaya di sekolah terbabit.
Bekas Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin menerusi hantaran di media sosial memaklumkan anak-anak yang sedang menghadapi peperiksaan ketika ini diharap dipermudah segala urusan.
“Anak-anak SMK Putrajaya Presint 14(1) sedang menduduki peperiksaan.
“Esok akan berlangsungnya sambutan Hari Belia peringkat Putrajaya di sekolah ini.
“Kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan berhampiran dewan. Semoga urusan anak-anak dipermudah,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada laporan rasmi mengenai punca kejadian serta sama ada kebakaran tersebut melibatkan bangunan sekolah atau kawasan sekitarnya.
Orang ramai turut mendoakan keselamatan pelajar, guru dan petugas sekolah selain berharap perjalanan peperiksaan tidak terjejas. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














