SEREMBAN – Inisiatif penambahbaikan laluan kerjaya ke Gred 5 bagi Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Kewangan dilaksanakan di peringkat negeri selaras dengan peningkatan beban tugas dan kompleksiti perkhidmatan dalam era digitalisasi masa kini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kini sedang menyelaras pengumpulan maklumat penyandang tetap di bawah pentadbiran kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pelaksanaan penambahbaikan ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berpandukan data yang tepat.
“Namun kerajaan juga perlu melaksanakan kajian pengukuhan perjawatan secara teliti bagi menangani implikasi kewangan dan struktur penyeliaan yang mungkin timbul.
“Kita mahu penambahbaikan ini dilaksanakan secara bertanggungjawab, berfasa dan benar-benar memberi manfaat kepada organisasi serta penjawat awam yang layak,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 125,000 penjawat awam Gred 1 membabitkan jawatan Pembantu Tadbir, Perkeranian dan Kewangan akan menikmati kenaikan ke Gred 5 mulai Januari 2027.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dilaporkan berkata, kenaikan gred perkhidmatan dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. – KOSMO! ONLINE














