PETALING JAYA – Seorang gadis mendakwa adiknya dipercayai bersekolah di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) telah dibuli, yang mana uniform sekolahnya digunting oleh pelajar lain.
Menerusi hantaran Thread Aynashfqh mendakwa, baju tersebut digunting oleh pelaku didakwa tingkatan satu di MRSM tersebut.
“Selalu dengar orang lain je yang kena buli. Sekali kena dekat adik sendiri. Ayah kita beli baju guna duit dik, bukan guna tisu. Baru form one (tingkatan satu) dan tunjuk ‘garing’ ya. Sekolah mana tak nak mention (bagitahu),” katanya pada hantaran itu hari ini.
Biarpun gadis tersebut tidak memaklumkan nama sekolah berkenaan, ramai yang meneka ia berlaku di salah sebuah MRSM berdasarkan warna uniform sekolah tersebut.
Dalam masa sama, ia turut mendapat maklum balas daripada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki apabila beliau meninggalkan komen pada hantaran berkenaan.
“MRSM mana ni? Bagi maklumat pada saya. Tiada kompromi dengan perbuatan buli seperti ini. #YouTouchYouGo,” katanya yang turut diberi gelaran ‘Daddy Mara’ dalam kalangan penuntut MRSM. – KOSMO! ONLINE














