KLANG – Seorang kontraktor Air Selangor ditemukan maut di dalam longkang dipercayai akibat serangan jantung ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Lorong Hulubalang 10C, Taman Sentosa di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 1.28 petang itu disedari orang awam yang menemukan lelaki berusia 50-an berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan berhampiran.
Menurutnya, pasukan ambulans Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang yang tiba pada pukul 2.05 petang telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HTAR Klang bagi tujuan bedah siasat.
“Laporan awal mendapati punca kematian adalah penyakit jantung iskemik akibat aterosklerosis arteri koronari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














