WASHINGTON – Pengawal Kewangan Pentagon, Jules Hurst III menyatakan bahawa kos perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran mencecah AS$29 bilion (RM113 bilion), lapor portal berita DW.
Angka terbaharu itu menunjukkan peningkatkan sebanyak AS$4 bilion (RM15 bilion) berbanding unjuran asal yang dikemukakan oleh pegawai-pegawai pertahanan pada penghujung April lalu.
“Semasa (keterangan) itu… ia adalah AS$25 bilion (RM98 bilion), namun pasukan kakitangan bersama dan pengawal sentiasa melihat anggaran dan kami fikir angka tersebut mencecah AS$29 bilion,” kata Hurst kepada penggubal undang-undang.
Hurst tidak memperincikan kaedah pengiraan atau jangkaan kos perang yang akan dibelanjakan oleh AS.
Bagaimanapun, beliau memohon kelulusan daripada Kongres bagi bajet pertahanan berjumlah AS$1.5 trilion (RM5.8 trilion) bagi tahun 2027.
Pada masa sama, sokongan secara terbuka dalam kalangan ahli Republikan Kongres terhadap perang Presiden AS, Donald Trump dengan Iran semakin goyah.
Situasi itu muncul berikutan kenaikan harga mendadak kepada pengguna serta penyusutan dana awam bagi membiayai konflik yang dilihat belum mencapai matlamat tertentu. – AGENSI













