PETALING JAYA – Ibu bapa yang tetap mahu menamakan anak mereka dengan nama disifatkan tidak sesuai, boleh berbuat demikian dengan menandatangani dan mengakui ia adalah kehendak dan kerelaan mereka.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi hantaran pada Thread menjelaskan, terdapat garis panduan kepada petugas bagi pendaftaran nama untuk didaftarkan di dalam sijil lahir.
“Mengenai beri nama anak ni kan, dekat JPN memang ada garis panduan untuk petugas mendaftarkan nama anak seperti pilihan nama yang tak sesuai.
“Tapi kami boleh nasihatkan sahaja. Kalau parents (ibu bapa) bermati-matian nak juga nama asrama, hostel, hotel atau lain-lain, dia kena sign (tandatangan) dan akui nama yang diisi tu adalah kehendak dan kerelaan dia,” menurut JPN hari ini.
JPN memaklumkan, antara nama yang ditegah pula seperti gelaran nama gelaran (tun, tan sri), nama pangkat atau jawatan (imam, kapten).
“Nama-nama lucah dan ada beberapa lagi lah. Itu sahaja perkongsian tentang pemberian nama anak untuk hari ini ya kawan-kawan,” kata JPN.
Ibu bapa juga diingatkan untuk mendaftar kelahiran anak-anak dalam tempoh 60 hari bagi Semenanjung, manakala 42 hari di Sabah dan Sarawak.
“Pilihlah nama yang sesuai menepati tatacara, kesesuaian bahasa, agama serta norma budaya masyarakat. Ini semua demi kepentingan identiti kanak-kanak dan keharmonian sosial. Ingat jangan lebih tempoh tau, nanti jadi Daftar Lewat,” tambah JPN.
Hantaran itu menerima pelbagai maklum balas selain ada yang mengaitkannya dengan kelahiran nama bayi seorang pempengaruh.
“Terima kasih atas nasihat. Kira wujudlah ye ibu bapa jenis ketegaq (degil) bermatian nak letak nama anak pelik-pelik,” komen Aweenzahir.
“Yang penting ibu bapa kena cerdik bagi nama anak. Kalau tak ada pilihan sangat, pilih je 99 nama Allah, selesai,” kata Coklat Hazelnut04.
“Tolong JPN, tambahkan garis panduan nama anak ni mestilah bermaruah. Kasihan anak tu nama bawa sampai akhirat,” komen Naillahh. – KOSMO! ONLINE














