PETALING JAYA – Ibu bapa kini tidak lagi dibenarkan menggunakan singkatan ‘Mohd’ untuk urusan pendaftaran nama anak, sebaliknya wajib menulis ejaan tersebut secara penuh.
Menerusi hantaran di laman Threads rasmi Jabatan Pendaftaran Negara Pulau Pinang, langkah itu bertujuan memastikan ketepatan ejaan bagi generasi baharu.
“Nama yang tiada dah pada anak-anak sekarang ialah Mohd. Nama tersebut perlu ditulis penuh Mohamad, Muhamad atau Muhammad,” katanya.
Perkara ini mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai, termasuk mereka yang memiliki nama singkatan tersebut di dalam Kad Pengenalan (IC) masing-masing.
Seorang pengguna, faeez.namaku, mengakui walaupun dia tergolong dalam generasi yang menggunakan singkatan tersebut, dia bersetuju ejaan penuh adalah lebih baik.
“Saya generasi yang di IC bernama Mohd. Tapi memang lebih indah kalau ditulis penuh Muhammad,” tulisnya di ruangan komen.
“Mohd itu wujud sebab singkatan Muhammad dalam tulisan Jawi (Mim-Ha-Mim-Dal),” jelas pula pengguna @zelozyxw.
“Sedar tak sedar ,nama yang ada Mohd ini melambangkan identiti Malaysia yang ketara, tiada di dunia melainkan Malaysia. Aku yang salah satu nama yang ada Mohd ini,” kata pengguna @lastliverpool.
Trend ini menunjukkan peralihan kepada penggunaan nama yang lebih formal dan lengkap dalam dokumen rasmi bagi generasi baru di Malaysia. – KOSMO! ONLINE














