PETALING JAYA – Taktik terbaru sindiket penipuan yang dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meniru suara individu yang telah meninggal dunia bagi mengugut ahli keluarga mangsa mendapat kecaman daripada orang ramai, semalam.
Menerusi satu hantaran di media sosial oleh @aleeyasharil, adiknya telah dihubungi oleh seorang individu yang mendakwa arwah bapanya mempunyai hutang sebanyak RM1,000 dengan sebuah syarikat pinjaman wang tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai along.
Lebih mengejutkan, sindiket tersebut turut menghantar rakaman suara yang didakwa milik arwah bapanya sebagai bukti bagi memeras ugut mangsa supaya melakukan bayaran tersebut.
“Mereka ini cakap dekat adik saya yang arwah abah saya ada hutang dengan along tapi yang tak betulnya ‘scammer’ ini, kata arwah berhutang pada bulan Januari 2026. Arwah abah saya dan meninggal tahun lepas pada bulan April.
“Siap ada rekod suara abah saya lagi, padahal itu bukan suara abah pun tapi suara AI. Macam mana boleh hutang sedangkan orang itu dah tiada dan siap tekan kami ini yang menipu sorok arwah abah kami,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut berasa berang dengan tindakan sindiket penipuan itu yang dianggap tidak berperikemanusiaan.
Pengguna @jebat6009 berkata, mangsa tidak perlu bimbang dan harus mengambil tindakan yang sepatutnya dengan menyekat terus nombor berkenaan.
“Jangan pening kepala, ‘block’ sahaja terus. Selepas ini ada nombor yang tak kenal minta hutang awak sekat sahaja dan jangan layan,” katanya.
“Jangan bayar pun sebab bila bayar, dia guna sebagai bukti yang kita memang ada hutang dengan dia. Along ini memang suka mengemis macam ini,” kata pula pengguna @chrysanthemomma.
“Awak bagi sahaja gambar jenazah siapa-siapa dekat dia, geram pula kita sebab tak akan kita nak buat main-main hal kematian ini,” ujar pengguna @badariah_baharuddin. – KOSMO! ONLINE














