PETALING JAYA – Seorang remaja lelaki dipuji orang ramai apabila dia sanggup mengumpul duit belanja sekolah semata-mata mahu membeli emas sebagai hadiah hari jadi ibunya.
Menerusi video dikongsikan TikTok Dhinar Jewels, remaja tersebut datang ke premis itu serta mengira wang kertas dibawanya antaranya RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100 untuk membayar emas yang telah dipilih.
“Hari ni ada adik soleh datang kedai, balik sekolah terus datang kedai emas. Katanya esok hari jadi emaknya, dia nak beli hadiah untuk mak dia.
“Dia simpan duit sekolah dia untuk belikan hadian emaknya. Semoga adik dimurahkan rezeki selalu sebab dah bahagikan emak,” katanya pada hantaran berkenaan.
Ia mendapat pelbagai maklum balas termasuk ramai yang memuji remaja lelaki tersebut serta premis kedai emas berkenaan.
“Ya Allah, kau murahkanlah rezeki penjual ni sebab tak memilih layan pelanggan,” komen pengguna TikTok Natasya.
“Jangan tengok nilai, tengok usahanya, tahniah dik, beruntung ibu awak,” komen Nusyadaa.
“Ya Allah, mahalnya awak hargai emak awak. Akak pula yang sedih, tahniah dik. Bagus didikan emak awak, lahirkan anak yang baik,” kata Reenacute. – KOSMO! ONLINE














