BAGAN SERAI – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai terbabas ke dalam parit dalam kemalangan di Jalan Sungai Perikan, Simpang Ampat Semanggol di sini pagi tadi.
Mangsa yang berusia 74 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.07 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari balai bomba berdekatan digerakkan ke lokasi dan tiba pada pukul 7.25 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit.
“Ketika bomba tiba, mangsa telah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Parit Buntar. – KOSMO! ONLINE














