fbpx
Tangkap layar video ratusan bangkai ikan terapung di Tasik Danau Kota yang dikongsikan pengguna Threads, Sofiahsajap semalam.

[VIDEO] Apa yang jadi di Tasik Danau Kota?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keadaan sebuah tasik di Danau Kota, Kuala Lumpur yang dipenuhi ratusan bangkai ikan mencetuskan tanda tanya dalam kalangan orang ramai selepas rakaman dan gambar kejadian itu tular di media sosial.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna Threads, Sofiahsajap, kawasan tasik berkenaan dilihat dipenuhi ikan yang terapung dan mati di permukaan air sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai tahap kebersihan serta kualiti air di lokasi tersebut.

“Apa yang terjadi di Tasik Danau Kota,” tulisnya dalam hantaran semalam.

Perkongsian itu kemudian mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang masing-masing cuba memberikan penjelasan mengenai punca kejadian.

Seorang pengguna, Athira_faiqah berpendapat fenomena tersebut berkemungkinan berlaku akibat kekurangan oksigen terlarut dalam air selepas hujan lebat.

Menurutnya, tasik lazimnya mempunyai tiga lapisan air dengan kandungan oksigen yang berbeza iaitu lapisan atas mengandungi oksigen tinggi, lapisan tengah sederhana dan lapisan bawah sangat rendah.

“Apabila hujan lebat berlaku, ketiga-tiga lapisan ini akan bercampur menyebabkan kepekatan oksigen dalam air menurun. Ikan tidak mendapat oksigen yang mencukupi, mengalami tekanan dan akhirnya mati,” katanya.

Selain itu, terdapat juga pengguna yang mengaitkan kejadian tersebut dengan kemungkinan pencemaran air atau perubahan mendadak terhadap ekosistem tasik.

“Dengar cerita ada restoran sekitar lepaskan sisa kembuhan ke tasik, pihak berkuasa tolong siasat dan beri penjelasan. Malu ke pelancong, keadaan tasik tercemar macam ini. Rakyat Malaysia nak beriadah pun tidak selesa,” kata Azira.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung punca sebenar kematian ikan-ikan tersebut. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN