PETALING JAYA – Tindakan murni seorang murid sekolah menyuap makanan kepada rakan sekolahnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal menyentuh hati pengguna media sosial.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh pengguna Rasydan_77, kelihatan sekumpulan murid berpakaian sukan sedang menghabiskan waktu rehat mereka di kantin.
Apa yang mencuri tumpuan adalah keikhlasan seorang murid yang sanggup menyuapkan makanan dan setia menunggu sehingga rakan istimewanya itu selesai makan.
“Mulianya hati awak dik. Terharu tengok awak bantu mudahkan kawan awak nak makan tu. Sangat istimewa,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dengan nilai empati tinggi yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tersebut malah ada menyifatkan ia sebagai hasil didikan daripada ibu bapa.
Seorang pengguna Threads yang juga seorang guru, Caca.aesya berkata, dia pasti akan menitiskan air mata sekiranya melihat situasi menyayat hati itu berlaku di hadapan matanya sendiri.
“Sebagai seorang guru, kalau saya nampak pelajar saya macam ni, mungkin di situ juga saya menangis,” ujarnya.
“Saya percaya budak yang baik datang daripada didikan ibu bapa. Semoga adik dua orang jadi kawan yang baik sampai bila-bila,” kata Ashley_ash69.
“Terbaik dik. Teruskan menjadi orang yang baik dan sentiasa membantu orang lain yang dalam kesusahan,” tambah Momell.__. – KOSMO! ONLINE














