KOTA BHARU – Selepas mencuri perhatian menerusi single sulung ‘Ku Tok Caro’, Sha Emelda bersedia mencipta satu lagi fenomena apabila bakal melancarkan beberapa single baharu yang mengetengahkan konsep dikir barat moden dengan suntikan elemen kreatif dan segar.
Sha Emelda atau nama sebenar Siti Khairunnisa Budin, 26, berkata, semua lagu tersebut kini berada di peringkat akhir persiapan dan diterbitkan di bawah sentuhan kreatif produser MuzikDuaKarya dan Zam Meletop yang turut memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju keseluruhan projek berkenaan.
Menurutnya, inspirasi penghasilan karya baharu itu turut dipengaruhi trend lagu-lagu yang tular di platform media sosial termasuk fenomena lagu ‘Adik Mafia’, namun masih mengekalkan identiti muzik dan keunikan budaya Kelantan.
“Setiap single yang bakal dilancarkan mempunyai jalan cerita, emosi dan identiti tersendiri. Saya mahu peminat melihat perkembangan dan kematangan saya sebagai penyanyi menerusi karya baharu ini.
“Saya juga berhasrat untuk berkolaborasi atau menghasilkan lagu duet bersama artis tempatan sekiranya diberi peluang pada masa hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, komposer dan penerbit, Rizz Edisi berkata, projek tersebut dirancang secara teliti hasil kerjasama erat bersama MuzikDuaKarya dan Zam Meletop bagi memastikan setiap lagu tampil dengan kualiti terbaik serta mampu memberi pengalaman muzik yang berbeza kepada pendengar.
Katanya, selain pelancaran beberapa single, pelbagai strategi promosi turut disusun termasuk kandungan eksklusif dan kempen khas di platform media sosial bagi mendekatkan karya tersebut dengan peminat. – KOSMO! ONLINE






