GEORGE TOWN – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong memberitahu yang beliau pernah menyimpan jambang panjang ketika zaman persekolahannya dahulu.
Steven Sim yang merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata, tindakannya itu menyebabkan beliau telah dimarahi oleh guru besar sekolah berkenaan, sehingga pengalaman itu sukar dipadamkan sehingga ke hari ini.
“Ketika kecil, saya pernah dimarahi oleh guru besar kerana menyimpan jambang yang terlalu panjang.
“Guru besar saya ketika itu berkata, jika perkara kecil pun tidak boleh dilakukan dengan baik, maka kita tidak layak diberikan tanggungjawab yang lebih besar.’
“Kata-kata itu saya ingat sampai hari ini, malah sampai sekarang saya tidak ada tabiat menyimpan jambang,” katanya sambil ketawa.
Beliau berkata demikian pada sesi ucapannya ketika hadir menyampaikan insentif berjumlah RM237,000 kepada 370 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 106 pelajar yang memperoleh 8A menerima insentif RM500 seorang, 141 pelajar yang memperoleh 9A menerima RM600, 118 pelajar yang memperoleh 10A menerima RM800, manakala lima pelajar yang memperoleh 11A menerima RM1,000 setiap seorang.
Steven Sim memberitahu lagi, beliau bangga dengan pencapaian pelajar-pelajar berkenaan yang memperoleh keputusan 8A dan ke atas dalam peperiksaan SPM 2025, sekali gus menunjukkan tahap pendidikan di kawasan tersebut semakin meningkat.
Pada masa sama, Steven Sim turut mengingatkan para pelajar bahawa kejayaan yang diraih hari ini bukan hanya milik mereka sendiri, tetapi juga milik ibu bapa, ahli keluarga dan guru-guru yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan mereka.
“Apabila anak-anak berdepan peperiksaan, tekanan dan cabaran hidup, sokongan keluarga selalunya menjadi kekuatan utama yang membantu mereka terus bertahan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














