LUMUT – Keadaan mayat yang tidak sempurna termasuk pecah kerana berada di laut selama beberapa hari menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi anggota penyelamat dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di perairan Pulau Pangkor di sini.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kebiasaannya mayat akan terapung pada hari kedua dan berkemungkinan pecah pada hari berikutnya.
“Kalau tak pecah pada hari ketiga, ia akan terapung, tetapi kalau mayat pecah ia akan tenggelam. Jadi itu kesukaran yang kita hadapi.
“Tadi kita dimaklumkan pesawat yang melakukan tinjauan di udara pada sebelah pagi tidak menemukan sebarang objek baharu di laut,” katanya ketika ditemui di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan sebuah bot yang membawa 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia tenggelam di perairan Pulau Pangkor awal pagi kelmarin.
Pihak berkuasa yang melancarkan operasi SAR berjaya menyelamatkan seramai 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita Indonesia.
Pasukan SAR semalam turut menemukan tujuh mayat masing-masing empat pada pukul 2 petang, manakala tiga lagi dijumpai pada pukul 6 petang hingga 7 malam.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, keluasan kawasan pencarian hari ini ditambah kepada 343.8 batu nautika persegi berbanding 151 batu nautika persegi semalam.
“Sebab semalam kita lihat mayat-mayat ini ‘bergerak’ ke utara lebih kurang 14 hingga 17 batu nautika. Jadi fokus pencarian hari ini ke arah utara, lebih banyak ke sana.
“Hari pertama dan kedua operasi SAR, mayat dijumpai pada jarak 18 batu nautika, berkemungkinan hari ini akan pergi sehingga 25 hingga 27 batu nautika dari lokasi awal (kapal karam),” katanya. – KOSMO! ONLINE














