LUMUT – Sebuah bot yang membawa 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia tenggelam di perairan Pulau Pangkor di sini awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, susulan itu, Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) negeri mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mencari mangsa bot tenggelam terbabit.
Katanya, pihaknya telah menerima aduan sekitar pukul 5.30 pagi daripada seorang nelayan tempatan yang menemui mangsa terapung di laut dan memohon bantuan segera.
“Susulan maklumat diterima, Op Carilamat segera diaktifkan pada pukul 6 pagi dan KM Gagah dan Benteng 1203 telah diatur gerak ke lokasi bagi melakukan usaha pencarian dan dibantu oleh agensi sahabat seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta komuniti nelayan tempatan.
“Sebuah vesel nelayan tempatan, VNT PKFB 616, telah berjaya menyelamatkan seramai 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia sebelum kesemua mereka diiringi oleh Bot PPM PAC 16 ke Jeti PPM Kampung Acheh untuk dokumentasi serta siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Shukri berkata, hasil siasatan awal terhadap mangsa mendapati jumlah keseluruhan PATI yang berada di atas bot tersebut adalah seramai 37 orang.
Beliau berkata, sehingga kini, seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan, manakala baki mangsa masih belum dikenal pasti dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilakukan.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, KM Gagah turut memaklumkan penemuan tiga buah beg mengandungi pakaian disyaki milik mangsa terlibat di lokasi operasi SAR dan akan dibuat pengecaman dari mangsa-mangsa yang telah diselamatkan.
“Kesemua mangsa yang diselamatkan dibawa ke Jeti PPM Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
“Siasatan awal juga mendapati mereka dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei 2026 menuju ke Malaysia dengan beberapa destinasi dipercayai termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.
Operasi SAR itu turut melibatkan aset termasuk KD Sri Indera Sakti, Helikopter Fennec TLDM, dua buah Fast Combat Boat (FCB) TLDM, Pesawat Bombardiar CL 415 (APMM) serta Bot PAC 16 (PPM) bagi melaksanakan tinjauan udara dan pencarian di kawasan insiden. – KOSMO! ONLINE














