fbpx
Yulia dituduh mendera anak majikannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

Amah didakwa cederakan anak majikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak perempuan berusia satu tahun ketika kejadian kepada kecederaan fizikal, tahun lalu.

Tertuduh, Yulia Arnida, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Zainol.

Mengikut kertas pertuduhan, pembantu rumah itu dituduh mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada kecederaan fizikal dengan cara menarik rambut mangsa sehingga kepala mangsa terangkat serta menarik tangan kanan mangsa dengan kasar sehingga menyebabkan kesan lebam.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Ledang, Taman Johor, di sini pada waktu petang pada 21 Disember tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen 31(1) Akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Manushri memohon jaminan yang tinggi berjumlah RM20,000 terhadap tertuduh beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada Mahkamah dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam, Jason Tan Ka Yan memohon jaminan yang minima memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan dua orang anak berusia 7 dan 8 tahun yang masih bersekolah di Bandar Aceh, Indonesia selain ibu bapa yang uzur.

Bagaimanapun, Hakim memutuskan tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh setelah peguam memaklumkan anak guamnya tidak dapat mematuhi salah satu syarat dikenakan kerana pasport milik tertuduh berada di tangan pihak ketiga.

Mahkamah turut memerintahkan wanita warga Indonesia itu ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Kluang sehingga pihak peguam mendapatkan dokumen perjalanan sementara buat tertuduh daripada kerajaan Indonesia.

Kes disebut semula pada 29 Jun ini untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN