fbpx
ANTARA motosikal yang disita JPJ Melaka dalam Op Pewa bermula 16 Jun lalu.

Warga asing beli motosikal serendah RM800 daripada orang tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Warga asing di negeri ini dikesan membeli motosikal daripada pemilik tempatan pada harga serendah RM800 secara tidak sah sebelum digunakan di jalan raya.

Perkara itu dikesan menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Op Pewa) yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka bermula 16 Jun sehingga semalam di beberapa lokasi tumpuan.

Pengarahnya, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, sebanyak 60 buah kenderaan dikesan digunakan oleh warga asing sebelum kesemuanya disita, melibatkan 47 motosikal, sembilan motokar, dua kenderaan perkhidmatan barangan (KPB) dan dua lain-lain kenderaan.

Katanya, mengikut pecahan kes, sebanyak 23 kes membabitkan warga asing Bangladesh, Pakistan (12 kes), Rohingya (11 kes), Indonesia (8 kes), Myanmar (4 kes) dan lain-lain warganegara (2 kes).

“Kesemua kenderaan itu disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan tiada lesen memandu, cukai jalan (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

“Hasil siasatan turut mendapati kebanyakan kenderaan berkenaan dibeli secara tunai daripada pemilik tempatan tanpa urusan pertukaran hak milik yang sah dengan harga sekitar RM800 hingga RM1,500,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, motosikal yang dijual pada harga rendah kebiasaannya merupakan kenderaan lama, namun terdapat juga yang masih dalam keadaan baik kerana diberikan oleh majikan untuk kegunaan kerja.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 243 kenderaan telah diperiksa sepanjang tempoh operasi tersebut, dengan 196 notis dikeluarkan.

“Operasi ini bukan bertujuan menyasarkan mana-mana pihak, sebaliknya untuk memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang tanpa kompromi.

“Pemilik kenderaan juga bertanggungjawab sepenuhnya dan boleh dikenakan tindakan jika membenarkan individu tanpa lesen sah menggunakan kenderaan mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN