JAKARTA – Festival Kuih Talam yang diadakan di Pekanbaru kelmarin tular di media sosial selepas berlaku kekecohan semasa proses menyusun kuih di lokasi acara, lapor portal berita Jawa Pos Radar Kediri.
Acara yang pada mulanya dirancang untuk menyajikan kuih talam durian sepanjang 1 kilometer itu menjadi tidak terkawal apabila orang ramai mula bersesak-sesak dan mengambil kuih yang masih belum siap disusun oleh pihak penganjur.
Dalam beberapa video yang tular di media sosial, kelihatan orang ramai berebut-rebut mengambil kuih di kawasan festival.
Pihak penganjur kelihatan buntu dan gagal mengawal keadaan yang sudah mula kecoh.
Keadaan tersebut menyebabkan acara tidak berjalan seperti yang dirancang.
Festival yang sepatutnya menjadi platform mempromosikan kuih tradisional tempatan sebaliknya dicemari dengan insiden tolak-menolak dalam kalangan pengunjung.
Peristiwa ini kemudiannya mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya.
Ramai yang kesal dengan kelemahan pengurusan orang ramai, memandangkan sambutan masyarakat yang sangat tinggi terhadap acara tersebut. – AGENSI














