KUALA LANGAT – Kira-kira 200 rumah di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini terjejas selepas limpahan air daripada ban rebak mengakibatkan kawasan penempatan penduduk ditenggelami banjir.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Perbadanan) (MBI), Ahmad Azri Zainal Nor berkata, jumlah itu adalah dapatan awal hasil pemeriksaan di kawasan yang terjejas.
Menurut beliau, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat bersama Ketua Kampung akan menjalankan semakan terperinci bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa serta memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera.
“Apa yang penting, kita menggalakkan mangsa mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi memudahkan penyaluran bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) dan Yayasan MBI.
“Langkah itu penting supaya semua mangsa yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, Ahmad Azri menyampaikan sumbangan Yayasan MBI berupa bantal, toto, selimut, air mineral dan makanan dengan nilai keseluruhan RM30,000 kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang.
Beliau berkata, Yayasan MBI turut akan menyalurkan bantuan tunai kepada mangsa selepas proses dokumentasi lengkap, termasuk laporan polis dan salinan kad pengenalan diterima.
“Segala urusan dokumentasi akan diselaraskan oleh Ketua Kampung dan Ahli Majlis yang menjaga kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 3.56 petang merekodkan seramai 541 mangsa daripada 239 keluarga masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang. – KOSMO! ONLINE














