KUALA TERENGGANU – Pasangan suami isteri yang ditangkap khalwat buat kali kedua sewaktu dalam tempoh bertunang pada awal tahun ini masing-masing dijatuhi hukuman tiga kali sebatan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Hakim Syarie Nik Mohd. Shahril Mat Yusof memerintahkan hukuman demikian selepas kedua-dua tertuduh, Muhammad Shazmel Aqimie Razalee, 26, dan pasangannya, Tengku Nur Faresha Ulani Tengku Ahmad Farek, 24, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Beliau memerintahkan hukuman sebat terhadap kedua-dua tertuduh yang masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai makan dan barista atau pembuat kopi dilaksanakan di dalam Penjara Marang pada pukul 10 pagi, 7 Jun depan selepas tempoh 14 hari rayuan berakhir.
Sebelum ini, Muhammad Shazmel Aqimie dan Tengku Nur Faresha Ulani yang baru melangsungkan pernikahan pada 26 April lalu masing-masing pernah dijatuhi hukuman denda RM2,600 dan RM2,500 atas kesalahan khalwat buat kali pertama di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 13 Mei tahun lalu.
Hakim Syarie Nik Mohd. Shahril dalam penghakimannya berkata, hukuman berat perlu dikenakan memandangkan kedua-dua tertuduh seolah-olah tidak serik melakukan maksiat dalam tempoh bertunang biar pun telah dihukum atas kesalahan khalwat buat kali pertama sebelum ini.
“Kamu berdua tidak ambil peluang untuk insaf dengan berkahwin sewaktu ditangkap pada kesalahan (khalwat) pertama dengan alasan tidak cukup duit tetapi tetap melakukan melakukan perkara sama,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Shazmel Aqimie dan Tengku Nur Faresha Ulani didakwa bersama pasangan bukan mahram di dalam sebuah rumah di Kerteh, Kemaman pada pukul 3.15 pagi, 15 Januari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31
Enakmen Kesalahan Jenazah Takzir
Terengganu 2001 (Pindaan 2022) yang memperuntukkan hukuman maksimum enam sebatan atau penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














